Sep 26, 2010

Pereka jangan jadi lanun seni - Rizalman

Sumber : Pancaindera, Mingguan Malaysia

26 sept 2010


SIAPA yang tidak kenal dengan pereka fesyen terkenal tanah air, Rizalman Ibrahim. Menjadi ikon dalam industri fesyen tanah air, anak kelahiran Pulau Pinang itu pasti diingati apabila memberikan kejutan melalui rekaannya terutama fesyen tradisional kontemporari.

Itulah kehebatan lelaki berusia 39 tahun ini yang mampu menjadi contoh kepada anak muda lain terutamanya yang berminat memilih karier pereka fesyen.

Apatah lagi dia berjaya membeli bangunan tiga tingkat di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur sekali gus membuktikan kejayaan seorang anak Melayu di kawasan segi tiga emas itu.

Namun dalam diam, Rizalman memendamkan perasaan apabila melihat senario industri fesyen tanah air yang semakin menjadi tidak sihat.

Dakwanya, kini terdapat segelintir pelapis pereka fesyen dalam industri yang menggunakan jalan salah untuk cepat popular di mata masyarakat.

“Apa yang digeruni apabila segelintir mereka mencedok idea pereka lain tanpa mengolahnya semula mengikut kesesuaian identiti seseorang pereka itu sendiri.

“Akibatnya, industri tidak berkembang malah terdapat pereka fesyen lain pula yang gulung tikar akibat ideanya diciplak," katanya berterus-terang.

Bagi mendapatkan gambaran jelas apa yang terbuku di hati Rizalman, wartawan ARIF NIZAM dan jurugambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN berkunjung ke butik mewahnya dan berbual panjang baru-baru ini.

Sebagai pereka fesyen senior, apakah pandangan anda tentang perkembangan industri fesyen pada hari ini?
Industri fesyen di Malaysia sudah banyak berubah dalam masa 15 tahun ini apabila pantas berkembang. Permintaan terhadap rekaan fesyen terkini serta percambahan pereka baru menyemarakkan lagi senario fesyen tempatan. Bukan setakat itu, pendedahan terhadap barangan berjenama sekali gus memberi kesedaran terhadap mutu rekaan yang lebih tinggi. Kehadiran barangan serta jenama antarabangsa memberikan satu persaingan sengit serta sihat kepada masyarakat tempatan, pereka serta pengguna.

Tempoh 16 tahun berada dalam industri, adakah anda berpuas hati dengan sumbangan yang diberikan?
Pengalaman hampir dua dekad ini memang telah membawa saya ke platform yang berbeza tahun demi tahun. Kecuaian yang sedikit pun mampu menjerumuskan saya ke arah tidak sihat. Namun saya sedaya upaya sentiasa memperingati diri sendiri akan tugas serta tanggungjawab yang harus dipikul sebagai anak jati Melayu untuk memartabatkan nilai serta seni budaya bangsa supaya dipandang tinggi. Sebagai contoh, rekaan tradisional itu telah diperbaiki dan diolah untuk kesesuaian peredaran zaman dan mencari jalan untuk menjana ekonomi masyarakat Melayu. Hasilnya, rekaan kita diterima masyarakat dan masyarakat pula dapat menikmati keindahan seni ini melalui seni pembuatan pakaian yang seratus peratusnya menggunakan hasil kerja tempatan. Dengan wujudnya fenomena ini, bidang rekaan fesyen telah diterima sebagai satu profesion dipandang tinggi serta bersifat komoditi.

Pandangan tentang pereka fesyen baru pada masa kini?
Ketika industri ini rancak berkembang namun terdapat juga pelapis pereka yang telah tersasar jauh dari landasan. Ilmu yang ditimba semasa pengajian serta kurangnya pengalaman dan rasa jati diri untuk memajukan diri telah menyebabkan ramai antara mereka cuma berada di dalam profesion dalam masa yang singkat. ‘in fashion,one day you are in, the next day you are out!’ jika kita tidak pandai membawa diri serta tidak menunjukkan identiti serta keaslian kita. Masyarakat akan cepat menghidu kelemahan seseorang pereka itu. Plagiat serta kurangnya mentelaah bahan rujukan akan menyebabkan rekaan kita kelihatan seperti mencedok dari pereka yang lain. Ini sudah semestinya membawa kepada kecenderungan hasil kerja seseorang pereka itu tidak akan diterima seterusnya membawa kepada kerugian dan jalan penghujung kepada kariernya. Mengambil jalan pintas untuk berjaya serta terlalu enak dibuai dunia glamor juga menyumbang kepada kehancuran. Intipati kepada kejayaan seseorang pereka itu apabila menghasilkan sesuatu rekaan yang boleh diterima masyarakat serta dapat pula menghasilkan pulangan yang lumayan.

Adakah mereka sudah bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya pereka fesyen seperti anda bersara tiba-tiba?
Inilah yang amat saya takuti. Pereka pelapis seakan belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Saya mungkin mempunyai rancangan yang besar selepas ini dalam bidang lain. Mungkin saya juga ingin bersara lebih awal jika melihat perkembangannya begini rupa. Rekaan fesyen yang dihasilkan rata-rata tidak mencerminkan identiti bangsa apatah lagi disogokkan untuk para pembeli untuk diguna pakai. Tiada elemen ‘fashion forward’ diketengahkan. Idea masih di takuk lama sedangkan mereka sepatutnya hadir dengan idea-idea lebih bernas sebagaimana yang kita dapat lihat di Barat. Pereka juga kerap beranggapan bahawa sekiranya seseorang itu berada di luar negara, ia sudah cukup membuktikan seseorang itu berjaya sedangkan di tanah air kita sendiri ‘it’s already a gold mine’ kalau kita bijak mengatur langkah. Bukankah itu sumbangan yang sepatutnya pada ada pada satu jiwa yang merdeka?

Pandangan anda apabila pereka fesyen baru ini tiada identiti sendiri dan masih mengambil jalan mudah meniru rekaan pereka fesyen senior?
Mengambil idea atau mencedok dari pereka yang lain tidak seratus peratusnya salah. Malah saya juga sentiasa meneliti hasil kerja orang lain untuk dijadikan panduan. Tapi apa yang digeruni apabila mencedoknya tanpa mengolahnya semula mengikut kesesuaian identiti seseorang pereka itu sendiri. Kesannya saling tidak tumpah terhadap apa yang terjadi pada industri muzik kita. Industri tidak berkembang malah pereka fesyen pula yang gulung tikar akibat ideanya diciplak. Sepatutnya pereka lama dan baru bergabung tenaga untuk menghasilkan idea-idea jitu serta menarik bagi menyemarakkan selera fesyen tempatan dan bukannya menjadi lanun seni.

Khabarnya pernah merajuk dengan industri fesyen tanah air?
Saya tidak merajuk apatah lagi untuk berlagak pandai. Kesan dari senario yang terjadi sekarang seolah-olah mencerminkan anak didik bangsa yang hilang arah tuju. Saya jenis orang yang suka menegur jika terdapat apa-apa yang kurang saya senangi berlaku terhadap bangsa sendiri. Masakan tidak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi idola saya. Saya khuatir jika ini dibiarkan berlarutan, kita mungkin akan hilang identiti bangsa kita yang memang terkenal dengan kesungguhan serta kesenian untuk berjaya. Kita mungkin akan ditindas serta pertumbuhan ekonomi pada masyarakat Melayu akan terjejas. Saya berpendapat media masa juga harus memainkan peranan dalam menulis secara lebih terbuka dan tulus bagi menyedari kelompok ini bahawa ada sesetengah hasil rekaan itu mempunyai cacat cela. Dan pereka baru juga sudah tiba masanya untuk menerima kritikan dengan lebih terbuka bagi memperbaiki hasil kerja mereka. Masyarakat kini sudah pandai menilai dan bukan lagi rela untuk disogok dengan rekaan yang berbaur sampah.

Harapan dan nasihat kepada pereka fesyen baru?
Walau bagaimana hebatnya teknologi di zaman ini untuk meraih kejayaan, saya masih lagi percaya kepada pengalaman yang ditimba. Bukannya hari ini kita keluar dari institusi, esok kita sudah bergelar pereka. Sebarang kejayaan harus di daki dan segala pengetahuan harus dicari kerana cita-cita harus datang bersama kepayahan dan kesabaran. Mungkin kita sudah cukup senang dengan pujian dari rakan sekeliling tentang kehebatan kita tapi kayu pengukur sesuatu kejayaan itu masih lagi pada diri kita sendiri. Tepuk dada dan tanya sama ada kita sudah cukup berbakti pada ibu bapa yang menghantar kita menimba ilmu atau pun pada negara yang meminjamkan segala kemudahan kepada kita. Juga tanyalah pada diri kita sendiri adakah kita sudah bersedia untuk bergelar seorang pereka?

SHEILA WAHID : Tahniah Rizalman… wish you all the best