Jun 20, 2009

Selamat Hari Bapa

Selamat hari bapa diucapkan khasnya buat suamiku Mohd Jailani, terima kasih kerana menjadi seorang papa yang baik, penyabar dan penyayang buat putera dan puteri kita.

Ucapan ini juga ditujukan amnya kepada semua yang bergelar bapa.


* * * * * * * * * * * * * * *


Buat Almarhum Haji Wahid bin Haji Ramly, anakanda menghadiahkan Al-Fatihah sebagai hadiah hari bapa... Semoga Allah mencucuri RahmatNya ke atas rohnya... tanpamu tiadalah aku di dunia ini. Hanya doa yang mampu kuutuskan sebagai ucapan terima kasihku di atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan.

Tanggal 8 Julai 2009 ini maka genaplah 5 tahun pemergianmu, tetapi rasanya seolah-olah baru semalam kau meninggalkan kami. Masih terngiang-ngiang lagi suaramu di telingaku, tatkala ku menelefonmu pada siang 7 Julai 2004 yang lalu. Kau menanyakan kepadaku, "Bila nak balik kampung?", lantas kuberikan jawapan, "Tak tahu lagi bila nak balik, sebab banyak kerja yang perlu diselesaikan."

Dan rupa-rupanya itulah kali terakhir aku mendengar suaramu, dan sebelah malamnya aku mendapat panggilan telefon daripada mak menyatakan bahawa kau telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Sedihnya.... Seolah-olah tak percaya, sebab tiada sebarang perubahan yang ketara. Aku menangis semahu-mahunya. Allah lebih menyayangimu, daripada kami semua.

Ya Allah, tempatkanlah roh bapaku bersama orang-orang yang beriman, ampunkanlah segala dosa-dosanya. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Amin.

p/s : Buat pengunjung yang membaca blog ini, sudilah kiranya sedekahkan Al-Fatihah buat Almarhum Haji Wahid bin Almarhum Haji Ramly.

Terima kasih.